General - Terms & Conditions

NOTIS PRIVASI DIGI

1. SIAPAKAH DIGI?

Digi Telecommunications Sdn Bhd (dan Kumpulan Telenor, dimana kami merupakan sebahagian daripadanya) (dirujuk sebagai "Digi" atau "kami") komited dalam melindungi dan menghormati privasi anda.

Digi adalah penyedia perkhidmatan sambungan mudah alih dan Internet. Pejabat kami terletak di Lot 10, Jalan Delima 1/1, Subang Hi-Tech Industrial Park, 40000 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Notis Privasi ini menjelaskan perkara berkaitan dengan cara kami mengumpul, menggunakan, memproses dan menyimpan maklumat peribadi anda apabila anda melanggan mana-mana produk dan perkhidmatan kami, termasuk rangkaian telekomunikasi, aplikasi, perkhidmatan dan penyelesaian digital atau melawat mana-mana cawangan pejabat atau Digi Store kami, dan mana-mana laman web kami (secara kolektif dirujuk sebagai "Perkhidmatan"). Sila baca Notis ini bersama dengan Terma Perkhidmatan bagi perkhidmatan yang anda gunakan, yang mungkin tertakluk kepada syarat tambahan bagi perkhidmatan tertentu ke atas maklumat peribadi yang dikumpulkan daripada anda dan aktiviti pemprosesan yang berkaitan.

Kami telah meringkaskan Notis Privasi ke dalam infografik yang singkat. Klik sini untuk maklumat lanjut.

2. APAKAH KESAHIHAN PEMPROSESAN?

Digi akan memproses data peribadi anda berdasarkan:

2.1. Perlaksanaan kontrak anda dan bertindak atas permintaan anda. Contohnya, membolehkan anda membuat panggilan dan menghantar teks, melayari internet di telefon anda dan membolehkan kami menjana bil berdasarkan penggunaan anda.

2.2. Kepentingan perniagaan yang sah, sebagai contoh, pencegahan penipuan, menjaga keselamatan rangkaian dan perkhidmatan kami, pemasaran langsung dan peningkatan dalam perkhidmatan kami. Setiap kali kami merujuk pada asas kesahihan ini untuk memproses data anda, kami menilai kepentingan perniagaan kami untuk memastikan semua perkara tidak melanggar hak anda. Untuk maklumat lanjut tentang hak anda, bahagian 'Apakah Hak Anda?' di bawah.

2.3. Pematuhan kepada undang-undang mandatori, termasuk keperluan perakaunan dan cukai, dan apa-apa permintaan yang sah daripada pegawai kerajaan atau penguatkuasa undang-undang.

2.4. Persetujuan yang anda berikan di mana Digi tidak bergantung kepada asas perundangan yang lain. Apabila anda memberikan persetujuan anda, anda boleh menarik balik pada bila-bila masa. Untuk maklumat lanjut tentang hak anda, sila layari bahagian 'Apakah Hak Anda?' di bawah.

3. BILA KAMI MENGUMPUL MAKLUMAT PERIBADI ANDA?

Kami mengumpul maklumat peribadi anda dalam tiga cara:

3.1. Maklumat yang anda berikan kepada kami

Digi akan mengumpul maklumat peribadi anda apabila anda:

3.1.1.   Membeli atau menggunakan mana-mana perkhidmatan kami,

3.1.2.   Mendaftar untuk perkhidmatan tertentu,

3.1.3.   Melanggan surat berita, notis peringatan atau Perkhidmatan lain daripada kami,

3.1.4.   Menghubungi kami melalui pelbagai saluran atau meminta maklumat mengenai Perkhidmatan,

3.1.5.   Memohon kerja di Digi

3.1.6.   Mengambil bahagian dalam pertandingan, cabutan hadiah atau tinjauan,

3.1.7.   Memberi maklumat anda secara terbuka, dan

3.1.8.   Merupakan pelanggan kepada perniagaan milik kami

3.2. Maklumat yang kami kumpulkan secara automatik

3.2.1.   Apabila anda menggunakan perkhidmatan kami,

3.2.2.   Apabila anda melayari mana-mana laman web kami, kami menggunakan kuki (fail teks kecil yang disimpan dalam penyemak imbas anda) dan teknik lain seperti suar web (fail gambar kecil yang jelas digunakan untuk mengesan pergerakan anda di laman web kami). Untuk maklumat lanjut tentang perkara ini dan cara memilih keluar, sila layari 'Notis Kuki'.

3.2.3.   Apabila anda melawat mana-mana cawangan pejabat kami / Digi Stores, kami juga boleh mengumpul maklumat mengenai anda melalui CCTV sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan dan pencegahan jenayah kami.

3.3. Maklumat daripada sumber lain

3.3.1.   Kami juga mengumpul maklumat menerusi sumber daripada pihak ketiga sebelum menyediakan perkhidmatan kepada anda, atau mendapatkan maklumat latar belakang berkaitan peluang pekerjaan, atau di mana anda telah memberi kebenaran kepada syarikat lain untuk berkongsi maklumat mengenai anda. Sumber daripada pihak ketiga termasuk agensi pencegahan penipuan, direktori perniagaan, agensi pemeriksaan atau rujukan kredit, agensi penghitung pengebilan dan penyedia rangkaian yang berkaitan.

4. APA YANG KAMI KUMPULKAN?

Jenis maklumat yang kami kumpul bergantung pada penggunaan perkhidmatan kami dan cara anda berhubung dengan kami. Perkara ini termasuk:

4.1. Cara berhubung, bil dan maklumat lain yang anda berikan. Antaranya termasuk:

  • Nama,
  • Alamat,
  • Nombor telefon dan/atau telefon bimbit,
  • Tarikh lahir
  • Jantina
  • Alamat e-mel
  • Gambar
  • Rakaman CCTV
  • Rakaman suara
  • Pengecaman biometrik,
  • Nombor kad pengenalan,
  • Maklumat kad kredit atau kad debit,
  • Kod Swiss dan kata laluan pembayaran lain,
  • Maklumat keselamatan yang digunakan untuk pengesahan,
  • Akses kepada maklumat akaun dan perkhidmatan, serta
  • Maklumat yang anda berikan dalam tinjauan, promosi yang ditaja Digi dan aplikasi kerja diDigi.

4.2. Bagaimana anda menggunakan perkhidmatan kami dan peranti anda. Perkara ini termasuk:

  • Rekod panggilan yang mengandungi nombor telefon bagi panggilan keluar dan masuk (termasuk panggilan yang anda buat ke pusat panggilan kami),
  • Masa dan durasi panggilan atau cara anda menggunakan data,
  • Laman web yang anda lawati,
  • Rekod teks,
  • Lokasi tanpa wayar,
  • Penggunaan aplikasi dan ciri,
  • Produk dan peranti maklumat khusus serta pengenal pasti,
  • Sambungan penghala,
  • Pilihan perkhidmatan yang anda pilih,
  • Nombor mudah alih dan peranti,
  • Penstriman video,
  • Pakej video dan penggunaan,
  • Data demografi,
  • Data berasaskan minat,
  • Aliran trafik,
  • Kelajuan,
  • Kapasiti,
  • Kuasa, dan
  • Keadaan persekitaran seperti titik akses Wi-Fi yang berdekatan, sambungan, dan
  • Maklumat tingkah laku semasa melayari internet.

4.3. Bagaimana anda menggunakan laman web dan aplikasi kami

4.3.1.   Perkara ini termasuk maklumat mengenai aktiviti penyemakan, pencarian dan pembelian anda; alamat IP, nombor telefon mudah alih, nombor peranti dan pengenal pasti, alamat web dari halaman yang anda layari sebelum dan selepas, rakaman paparan skrin, penyemak imbas dan maklumat sistem pengendalian, jenis platform, kelajuan sambungan dan maklumat yang dikumpulkan menggunakan kuki, suar web serta teknologi lain .

4.3.2.   Apabila penyemak imbas peranti anda menggunakan perkhidmatan data kami untuk mengakses laman web selain daripada laman web kami, kami secara automatik akan menyimpan maklumat yang berkaitan dengan aktiviti penyemakan imbas anda, mengukur dan memantau prestasi rangkaian serta sambungan internet.

4.4. Lokasi peranti tanpa wayar anda

Maklumat ini tepat kerana menggunakan data Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) atau apabila peranti anda berkomunikasi dengan menara sel, penghala Wi-Fi atau titik akses dan/atau dengan teknologi lain, termasuk satelit dan maklumat lokasi lain.

Kami mungkin tidak dapat memproses permohonan anda dan/atau memberi perkhidmatan kami atas sebab-sebab seperti:

4.4.1.  Sekiranya anda gagal memberikan maklumat peribadi yang diperlukan;

4.4.2.  Jika maklumat peribadi yang diberikan tidak lengkap dan tidak tepat; dan/atau

4.4.3.  Jika anda menarik balik persetujuan untuk memproses maklumat peribadi anda.

Perkhidmatan dalam talian kami mengandungi pautan ke laman web pihak ketiga, atau akses pada perkhidmatan daripada pihak ketiga (seperti rangkaian sosial atau perkhidmatan VoIP). Kami tidak mempunyai kawalan terhadap bagaimana laman web dan perkhidmatan daripada pihak ketiga memproses maklumat peribadi anda dan kami tidak bertanggungjawab terhadap amalan privasi mereka. Sila baca notis privasi mana-mana laman web atau perkhidmatan daripada pihak ketiga yang anda akses dari laman web atau perkhidmatan kami.

5. BAGAIMANA KAMI MENGGUNAKANNYA?

Digi boleh menggunakan dan memproses maklumat peribadi anda untuk tujuan berikut:

5.1.   Untuk memberi anda perkhidmatan kami

5.1.1.     Memproses permohonan dan memberi anda Perkhidmatan kami.

  • Untuk memastikan anda sentiasa mempunyai maklumat terkini tentang langganan, manfaat dan ganjaran anda.
  • Untuk memberikan maklumat relevan tentang Perkhidmatan.

5.1.2.     Pengebilan dan perkhidmatan pelanggan

  • Untuk mengeluarkan bil bagi penggunaan perkhidmatan kami beserta kutipan pembayaran.
  • Untuk menjawab sebarang pertanyaan atau kebimbangan yang anda mungkin ada terhadap Perkhidmatan kami.
  • Untuk memantau dan merakam komunikasi antara kami dengan anda bagi tujuan latihan dan jaminan kualiti.

5.1.3.     Perkhidmatan mesej

  • Untuk menghantar maklumat terkini berkaitan dengan Perkhidmatan yang anda langgan.
  • Untuk memaklumkan mengenai perubahan pada terma dan syarat kami atau gangguan perkhidmatan.
  • Untuk menghantar pesanan khidmat masyarakat sama ada daripada pihak kami atau bagi pihak badan berkanun dan/atau pihak berkuasa.

5.1.4.     Perkhidmatan perayauan

  • Untuk menghubungkan anda dengan rakan perayauan kami, menyelesaikan masalah teknikal (jika ada) dan meningkatkan pengalaman perayauan anda.
  • Untuk mengesan dan mengatasi kecurian penggunaan rangkaian kami (dan rangkaian perayauan rakan kongsi kami).

5.2.   Untuk mengurus dan meningkatkan perkhidmatan kami

  • Untuk menguruskan jumlah panggilan, teks, sistem pencarisilapan (troubleshooting) dan kegunaan lain dalam perkhidmatan kami untuk pengalaman pelanggan yang lebih baik.
  • Untuk membangunkan perkhidmatan yang lebih menarik dan relevan, termasuk melaksanakan tetapan kawalan ibu bapa.

5.3.   Untuk menghantar material pemasaran dan memperibadikan perkhidmatan kami kepada anda

5.3.1.   Pemasaran

  • Bergantung kepada sejauh mana persetujuan yang diperoleh daripada anda, untuk menghantar material promosi yang berkaitan dengan Perkhidmatan kami, atau mempromosikan perkhidmatan rakan kongsi kami atau pihak ketiga yang kami fikir mungkin menarik minat anda;
  • Kami menyesuaikan mesej yang dihantar berdasarkan Perkhidmatan yang anda langgan daripada kami pada masa lalu, atau maklumat yang kami dapati daripada pihak ketiga.
  • Anda boleh mengawal kebenaran bagi pemasaran anda terima dan data yang kami gunakan untuk menyesuaikan bentuk komunikasi pada bila-bila masa. Untuk butiran lebih lanjut tentang perkara ini dan bagaimana untuk menghalang pemprosesan maklumat peribadi anda, sila rujuk bahagian 'Apakah Hak Anda?' di bawah.

5.3.2.   Pengiklanan dalam talian

  • Untuk mensasarkan kempen pemasaran dan pengiklanan kami [dan rakan kongsi kami] dengan lebih efektif dan diperibadikan, dan menjadikan pengalaman dalam talian anda lebih efisien serta menyeronokkan. Strategi ini dikenali sebagai pengiklanan berasaskan minat samada di laman web milik Digi, organisasi lain dan juga saluran media dalam talian yang lain seperti laman media sosial. Kami juga menggabungkan data yang dikumpul melalui kuki dengan data lain yang kami kumpul tentang anda.
  • Untuk mengelakkan sebarang pemprosesan maklumat, anda boleh menukar tetapan kuki anda. Rujuk pada 'Notis Kuki' kami untuk maklumat lanjut.
  • Memilih keluar daripada pengiklanan berasaskan minat tidak menghentikan penerimaan iklan. Anda masih melihat paparan iklan, cuma iklan tersebut tidak disesuaikan dengan minat anda. Untuk berhenti menerima iklan di media sosial anda, pergi ke tetapan platform iklan yang berkaitan.

5.4.   Menjalankan penyelidikan dan analitis

  • Untuk menjalankan penyelidikan, memantau dan menganalisis penggunaan pelanggan terhadap Perkhidmatan kami secara anonim atau peribadi, dalam mengenal pasti trend umum, menjalankan penyelidikan atau tinjauan pasaran, analisis pemasaran dalaman, kumpulan pelanggan, membangunkan Perkhidmatan baharu dan meningkatkan pemahaman kami tentang corak, tingkah laku serta pilihan pelanggan.
  • Untuk membuat statistik agregat mengenai jualan, trafik rangkaian pelanggan, corak lokasi dan demografi pelanggan kami. Statistik agregat tersebut tidak termasuk maklumat yang secara peribadi boleh mengenal pasti anda.

5.5.   Melakukan pemeriksaan kredit, pencegahan penipuan dan langkah-langkah keselamatan

5.5.1.       Pemeriksaan kredit

  • Untuk menjalankan pemeriksaan kredit apabila anda memohon kontrak untuk sebarang Perkhidmatan dengan kami.
  • Untuk mengesahkan identiti anda apabila anda meminta akses ke akaun anda dan untuk tujuan pengurusan akaun secara umum. Kadang-kadang, kami akan meneliti maklumat yang kami terima tentang anda dengan maklumat daripada sumber lain untuk menilai ketepatan maklumat yang kami peroleh.
  • Untuk bertukar maklumat tentang anda dengan agensi rujukan kredit semasa tempoh urusan anda dengan kami. Perkara ini termasuk akaun anda yang telah diselesaikan atau hutang lain yang tertunggak dengan kami. Maklumat tersebut boleh dibekalkan kepada organisasi lain oleh agensi rujukan kredit.

5.5.2.       Pencegahan penipuan dan keselamatan

  • Untuk melindungi akaun anda daripada akses tanpa kebenaran, penipuan, penyalahgunaan atau kerosakan pada Perkhidmatan kami.
  • Untuk menghalang aktiviti haram, penipuan, dan potensi ancaman kepada Perkhidmatan dan pelanggan kami.
  • Untuk mengesan dan menghentikan ancaman keselamatan siber ke sistem, rangkaian dan Perkhidmatan dalaman kami.

6. DENGAN SIAPA KAMI KONGSIKAN?

Kami menggunakan rakan kongsi dan penyedia perkhidmatan untuk pelbagai tujuan perniagaan. Dalam kes sedemikian, jika berkenaan, kami berkongsi maklumat mengenai anda bersama:

6.1. Afiliasi: Kami berkongsi maklumat peribadi anda dengan Kumpulan Telenor untuk aktiviti pemprosesan yang disenaraikan dalam bahagian ‘Bagaimana Kami Mengunakannya’ di atas.

6.2. Rakan Perayauan: Kami berkongsi maklumat peribadi anda dengan rakan perayauan apabila anda memilih untuk membuat perayauan menggunakan rangkaian tempatan atau luar, demi memudahkan atau memperluaskan perkhidmatan kami supaya kami dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anda.

6.3. Pemproses Data: Kami menggunakan perkhidmatan pihak ketiga untuk memproses maklumat peribadi anda bagi pihak kami dan atas arahan kami.

6.4. Rakan Kongsi Perniagaan: Kami bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memberikan perkhidmatan yang anda langgan, termasuk pembangunan perkhidmatan dan penghantaran pakej bagi pihak kami.

6.5. Penyedia Perkhidmatan: Kami berkongsi maklumat anda kepada pembekal perkhidmatan seperti rangkaian sosial atau VoIP yang anda pilih untuk dihubungkan dengan perkhidmatan kami, sehingga membolehkan anda menggunakan perkhidmatan yang dilanggan.

6.6. Rakan Pemasaran: Kami berkongsi maklumat anda dengan rakan pemasaran dan pengiklanan untuk membawakan kandungan yang bersesuaian dan perkhidmatan yang lebih baik buat anda.

6.7. Penyelidik: Kami berkongsi maklumat peribadi anda kepada pihak ketiga untuk tujuan penyelidikan atau analitis statistik dalam membantu kami memahami cara anda menggunakan perkhidmatan kami.

6.8. Penasihat Profesional: Kami menggunakan perkhidmatan penasihat profesional mengenai perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan kami, termasuk agensi kutipan hutang, agensi laporan kredit, penasihat undang-undang, akauntan dan juruaudit.

6.9. Pengurusan Penipuan: Kami akan memberikan maklumat jika tindakan tersebut munasabah untuk tujuan melindungi kami daripada penipuan, mempertahankan hak atau harta kami, atau melindungi kepentingan pelanggan kami.

6.10. Penguatkuasaan Undang-undang: Kami juga mungkin perlu memberikan maklumat anda dalam mematuhi perundangan dan memenuhi tuntutan undang-undang pihak berkuasa. Data peribadi anda hanya akan diberikan bagi tujuan yang sah; iaitu apabila kami diwajibkan untuk berbuat demikian, berdasarkan undang-undang dan menuruti penilaian menyeluruh terhadap semua keperluan undang-undang.

6.11. Organisasi lain: Jika syarikat kami mengalami rombakan atau dijual kepada organisasi lain, kami akan memberikan maklumat anda kepada organisasi tersebut.

Jika anda membeli produk atau perkhidmatan pihak ketiga melalui akaun Digi anda, kontrak anda adalah bersama dengan pihak yang menjual produk atau perkhidmatan tersebut. Sebagai sebahagian daripada urusan ini, anda bersetuju bahawa Digi boleh memberi maklumat peribadi yang tertentu (sebagai contoh, untuk mengesahkan nombor telefon bimbit anda) kepada pihak-pihak tersebut untuk melengkapkan pembelian anda. Terma dan syarat, notis privasi dan kuki daripada pihak tersebut akan diaplikasi dalam cara penggunaan maklumat peribadi anda. Oleh itu, sila baca dengan teliti.

Apabila kami berkongsi maklumat peribadi anda, kami akan memastikan penerima akan melindungi privasi anda, menyimpan maklumat peribadi anda dengan selamat serta memprosesnya mengikut undang-undang dan notis privasi ini.

Kami tidak akan menjual maklumat peribadi anda yang kami proses kepada pihak ketiga tanpa persetujuan anda.

7. BERAPA LAMA KAMI SIMPAN?

Kami akan menyimpan maklumat peribadi anda selagi perlu bagi tujuan yang kami kumpulkan dan memprosesnya, kecuali apabila tempoh penyimpanan yang lebih panjang diperlukan oleh undang-undang Malaysia. Maklumat anda akan dipadamkan mengikut Jadual Pengekalan kami di bawah.

Jenis Maklumat

Tempoh Pengekalan

Kesahihan Pengekalan

Maklumat akaun

Penutupan akauan + 7 tahun

  • Akta Limitasi 1953 bagi tuntutan undang-undang
  • Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi penyimpanan rekod

Maklumat bil dan kewangan

Penutupan akaun + 7 tahun

  • Akta Limitasi 1953 bagi tuntutan undang-undang
  • Akta Audit 1957 bagi tujuan audit
  • Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tujuan percukaian
  •  Akta Syarikat 1965 bagi penyimpanan rekod

Data rangkaian dan lokasi

Tarikh aktiviti rangkaian + 1 tahun

  • Kepentingan perniagaan yang sah bagi tujuan pemantauan rangkaian dan pencarisilapan (troubleshooting)
  • Mematuhi undang-undang bagi tujuan penyiasatan

Penggunaan laman web dan aplikasi

Tarikh penggunnaan + 1 tahun

  • Kepentingan perniagaan yang sah bagi tujuan pemantauan dan peribadi (personalisation)

Jawapan tinjauan dan penyerahan pertandingan

Pengakhiran tujuan + 1 tahun

  • Kepentingan perniagaan yang sah bagi tujuan penyelidikan and pemasaran

Komunikasi berkaitan Khidmat Pelanggan Digi

Tarikh komunikasi + 2 tahun

  • Kepentingan perniagaan yang sah bagi tujuan latihan dan kualiti
  • Mematuhi undang-undang bagi tujuan penyiasatan

Rakaman CCTV di premis Digi

Tarikh rakaman + 30 hari

  • Kepentingan perniagaan yang sah bagi tujuan keselamatan
  • Mematuhi undang-undang bagi tujuan penyiasatan

8. BAGAIMANA KAMI LINDUNGI?

Kami mempunyai pasukan keselamatan yang sentiasa mengkaji semula dan memperbaiki langkah keselamatan untuk melindungi maklumat peribadi anda daripada sebarang kehilangan, penyalahgunaan, pengubahsuaian, akses atau pendedahan yang tidak dibenarkan atau tidak disengajakan, pengubahan atau pelupusan.

Apabila anda log masuk ke akaun anda untuk menggunakan perkhidmatan kami dengan menggunakan nombor telefon atau nama pengguna dan kata laluan anda, maklumat peribadi anda tidak didedahkan dan kekal sulit apabila maklumat tersebut dihantar melalui Internet.

Laman web kami mempunyai pautan ke laman web pihak ketiga. Kami tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kandungan laman web pihak ketiga tersebut. Pastikan anda membaca notis privasi dan kuki organisasi tersebut sebelum menggunakan atau memberi maklumat peribadi anda di laman web mereka.

9. ADAKAH KAMI PINDAHKAN?

Apabila kami perlu memindahkan maklumat peribadi anda ke negara-negara di luar Malaysia untuk tujuan pemprosesan, kami akan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya demi memastikan maklumat peribadi anda dilindungi secukupnya (khususnya bagi negara-negara yang mungkin tidak menyediakan perlindungan yang sama seperti di Malaysia). Hal ini termasuk mempunyai perjanjian undang-undang yang sah yang meliputi pemindahan data dan menjalankan pemeriksaan keselamatan data bagi mana-mana penerima untuk memastikan bahawa maklumat peribadi di negara tersebut tidak akan diproses dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang perlindungan data yang diamalkan di Malaysia.

10. APAKAH HAK ANDA?

Anda mempunyai hak terhadap maklumat peribadi anda yang diberikan kepada kami. Hak privasi anda termasuk:

10.1.   Hak untuk menarik balik persetujuan: Anda mempunyai hak untuk menarik balik persetujuan yang anda berikan kepada kami untuk menggunakan, memproses atau berkongsi maklumat peribadi anda dengan menghubungi kami atau berurusan di Digi Store pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, menarik balik persetujuan yang telah dilakukan akan menyebabkan kami tidak dapat memproses permohonan anda dan/atau memberikan anda Perkhidmatan kami.

10.2.   Hak untuk mengakses maklumat anda: Anda boleh meminta salinan maklumat peribadi yang kami ada tentang anda dengan menghubungi kami atau mengakses maklumat tersebut secara terus melalui akaun anda di laman web Digi kami pada bila-bila masa.

10.3.   Hak untuk membetulkan data peribadi: Anda boleh meminta untuk membetulkan atau mengubah maklumat peribadi anda yang tidak tepat dengan melakukannya di Digi Store atau melalui akaun anda di laman web Digi kami.

10.4.   Hak untuk menghalang pemprosesan:

10.4.1.  Anda boleh meminta kami untuk menggantung sementara aktiviti pemprosesan maklumat peribadi anda apabila anda mempunyai kebimbangan terhadap ketepatan, legitimasi dan undang-undang dalam pemprosesan. Semasa tempoh penggantungan sementara, kami tidak dapat memproses permohonan anda dan/atau memberi anda perkhidmatan kami.

10.4.2.  Anda boleh meminta supaya kami menghentikan aktiviti pemprosesan maklumat peribadi anda untuk tujuan pemasaran. Jika anda tidak lagi mahu menerima kandungan mesej yang diperibadikan dan pemasaran daripada Digi, anda boleh memilih untuk memilih keluar pada bila-bila masa.

Sila ambil perhatian: Anda akan masih menerima mesej pemasaran untuk tempoh yang singkat selepas memilih keluar buat sementara waktu sehingga kami mengemas kini rekod kami.

10.4.3.  Anda boleh meminta supaya kami berhenti atau tidak memproses maklumat peribadi anda jika pemprosesan tersebut menyebabkan atau mungkin menyebabkan kerosakan atau tekanan yang tidak wajar kepada anda. Jika anda melakukan pilihan ini, kami tidak akan dapat memproses permohonan anda dan/atau memberikan perkhidmatan kepada anda.     

Untuk memastikan bahawa maklumat peribadi anda dalam simpanan kami adalah betul dan terkini, kami mungkin dari semasa ke semasa menghubungi anda untuk mengesahkan ketepatan maklumat peribadi anda dalam rekod kami. Walau bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan anda memberikan maklumat yang benar, tepat dan lengkap.

11. BAGAIMANA DENGAN KANAK-KANAK?

Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun boleh melanggan Perkhidmatan tertentu kami. Ini tertakluk kepada persetujuan ibu bapa, dan maklumat peribadi mereka akan diproses menurut Notis Privasi ini.

Apabila perkhidmatan yang dibeli untuk kegunaan keluarga digunakan oleh kanak-kanak bawah umur tanpa pengetahuan Digi, apa-apa maklumat yang dikumpulkan daripada penggunaan tersebut akan menjadi maklumat peribadi pelanggan dewasa dan digunakan sebagaimana di bawah Notis Privasi ini.

Kami menggalakkan anda untuk bersama anak-anak anda semasa mereka menggunakan Internet dan pada masa yang sama, memantau aktiviti dalam talian mereka.

12. PERUBAHAN KEPADA NOTIS PRIVASI INI

Digi berhak untuk meminda Notis Privasi ini dari semasa ke semasa berdasarkan perubahan dalam keperluan perniagaan, perundangan dan penguatkuasaan serta undang-undang yang terpakai. Kami menggalakkan anda untuk menyemak semula notis ini secara berkala, supaya anda dapat maklumat mengenai sebarang perubahan yang dibuat dengan memeriksa tarikh kuatkuasa di bawah. 

Sekiranya kami membuat keputusan untuk menggunakan atau mendedahkan maklumat yang mengenal pasti anda secara peribadi dengan cara yang berbeza daripada apa yang kami nyatakan dalam Notis Privasi ini pada masa kami mengumpul maklumat daripada anda, kami akan memberi anda pilihan mengenai penggunaan atau pendedahan baharu dengan cara yang sesuai, yang mungkin termasuk pilihan untuk memilih keluar.

Dikemaskini pada 16 March 2020

BAHASA

Selaras dengan keperluan undang-undang perlindungan data dan privasi Malaysia, Notis Privasi ini tersedia dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak konsisten atau percanggahan antara versi Bahasa Inggeris dan versi Bahasa Malaysia, versi Bahasa Inggeris akan digunapakai.

HUBUNGI KAMI

Sekiranya anda mempunyai pertanyaan, perhatian atau aduan berhubung dengan Notis Privasi ini, sila hubungi Pegawai Perlindungan Data kami melalui: